SEJARAH SEKOLAH


Sekolah ini mula didirikan pada tahun 1937 di atas sebidang tanah milik salah seorang penduduk kampung. Bentuk bangunannya hanyalah sebuah bangsal yang dikenali sebagai sekolah rakyat. Sekolah ini mula ditadbir oleh Lembaga Didikan Sekolah Melayu Bukit Choras.
Pelopor penubuhan sekolah ini ialah Allahyarham Tuan Haji Jasin Bin Haji Othman (Pak Jasin) dengan dibantu oleh penduduk Kampung Bukit Choras dan Kampung Kobah. Segala perbelanjaan mendirikan bangunan, alat kelengkapan dan gaji guru-guru dibiayai oleh orang ramai. Kebetulan pada masa itu, hanya ada 2 orang guru sahaja yang bertugas beserta 50 orang murid.
Pada tahun 1946,Lembaga Didikan Sekolah Melayu Bukit Choras telah dibantu oleh Pejabat Pelajaran Kedah dengan mendirikan sebuah bangunan baru iaitu bangunan papan di atas tapak yang sedia ada menggantikan Bangsal Sekolah Rakyat. Sejak itu, pentadbiran Sekolah Melayu Bukit Choras diambil oleh Pejabat Pelajaran Kedah. Guru-guru kerajaan dihantar mengajar disini.
Demi memajukan anak-anak disini, pada tahun 1953, Pejabat Pelajaran Kedah telah membeli tanah sawah seluas 3 relung 33 jemba sebagai tambahan kepada tanah yang sedia ada menjadikan keluasannya 5 relung 433 jemba. Setahun selepas itu iaitu pada penghujung tahun 1954, Pejabat Pelajaran Kedah telah mendirikan bangunan baru dengan keluasan 20 kaki lebar dan 200 kaki panjang, sebuah rumah guru dan sebuah tandas lubang. Kemajuan sekolah ini makin bertambah.
Pada tahun 1958, 'Bangsal Sekolah Rakyat' yang banyak berjasa kepada penduduk telah dirobohkan kerana terlalu uzur. Ini menyebabkan murid-murid tidak dapat belajar kerana kelas tidak mencukupi. Ekoran daripada itu sekolah sesi petang diadakan untuk memberikan pendidikan kepada murid-murid.
Sekolah Melayu Bukit Choras semakin maju daripada 2 orang guru bertambah menjadi 15 orang guru manakala murid-murid pula bertambah daripada 50 orang kepada 360 orang. Ramai daripada mereka yang sudah terpelajar dapat melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan swasta seluruh negara serta ke luar negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan